Thursday, 20 June 2013

Jenis-Jenis Ayat Dalam Bahasa Melayu

JENIS AYAT
Ayat dalam Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis yang utama iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan.
Contoh ayat penyata:
i. Nadia jurutaip.
ii. Dia wartawan.
iii. Ashila sedang tidur.

2. Ayat Tanya pula adalah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu, ayat Tanya dapat digolongkan kepada dua jenis , iaitu:
i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya.
ii. Ayat Tanya dengan unsur kata Tanya.

i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya
Ayat Tanya tanpa kata Tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada Tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).
Contohnya:
i. Encik Lokman kaunselor di sekolah itu?
ii. Adik masih menangis?
iii. Mimi menjadi pragawati?

Ayat Tanya jenis ini juga boleh disertai dengan partikel –kah, yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat.
Contoh ayat:
i. Dia ke sekolah?
Dia ke sekolahkah?

ii. Minggu lalu kamu ke Kedah?
Minggu lalu kamu ke Kedahkah?

iii. Mereka berlepas pagi tadi?
Mereka berlepas pagi tadikah?

ii. Ayat Tanya dengan unsur Tanya.
Ayat Tanya dengan unsur Tanya ialah ayat yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada tiga golongan, iaitu:
a) Ayat Tanya dengan kata Tanya.
b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri.
c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya.

a) Ayat Tanya dengan kata Tanya
Ayat Tanya dengan kata Tanya ialah ayat yang mengandungi kata Tanya seperti siapa, berapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa.
Contoh ayat seperti berikut:
i. Harga barang ini berapa?
ii. Hari perkahwinannya bila?
iii. Awak datang lambat kenapa?

b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang mengandungi kata ganti nama Tanya seperti apa, siapa, dan mana.
i. Apakah benda itu?
ii. Siapakah gurunya?
iii. Manakah adik awak?

c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang didahului oleh frasa sendi nama Tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan sebagainya.
Contoh ayat:
i. Tuan tinggal di mana?
ii. Adik hendak ke mana?
iii. Anak Puan Anita berkahwin dengan siapa?

3. Manakala ayat perintah pula ialah ayat yang digunakan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti kamu, awak, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:
i. Ayat suruhan
ii. Ayat larangan
iii. Ayat silaan
iv. Ayat permintaan

i) Ayat suruhan
Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Dalam ayat suruhan, subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak, engkau, kamu dan selainnya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek boleh juga dikekalkan. Contoh ayat seperti berikut:
a) Keluar dari bilik ini!
b) Pergi dari sini!
c) Awak siapkan kerja itu sekarang.

ii. Ayat larangan
Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan mnegah seseorang melakukan sesuatu.
Contohnya:
a) Jangan ambil harta orang.
b) Kamu jangan beritahu dia.
c) Usah dikenangkan lagi perkara yang lalu.

iii. Ayat silaan
Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemout atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat seperti berikut:
a) Sila datang ke rumah saya.
b) Sila serahkan surat ini ke pejabat.
c) Jemput masuk.

iv. Ayat permintaan
Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
a) Minta tuan-tuan jelaskan yuran persatuan.
b) Minta tuan benarkan kami masuk.
c) Tolong tutup tingkap itu.

4. Ayat yang seterusnya ialah ayat seruan.
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarakn dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang diletak di akhir ayat. Kata seru yang biasanya digunakan ialah oh, wah, amboi, cis, nah, syabas dan sebagainya. Contohnya:
i. Anakku!
ii. Amboi, garangnya!
iii. Wah, besarnya rumah awak!

Tuesday, 18 June 2013

Didik hibur ialah konsep yang merangkaikan elemen pendidikan menerusi hiburan menerusi aktiviti nyanyian, bercerita, lakonan, dan mendekati/menghayati/mendendangkan puisi. Dalam KSSR, konsep didik hibur diperhalusi dalam modul Seni Bahasa. Contoh aktiviti didik hibur ialah mendendangkan lagu atau puisi tradisional (gurindam, nazam, seloka), kemudian menyatakan amalan baik daripada lirik lagu.